Panduan Belajar Python
Ini bukan tutorial tapi panduan asas bagaimana hendak belajar mencari maklumat berkaitan Python. Dalam erti kata lain, belajar cara belajar. Ini kerana sudah banyak artikel, tutorial di luar sana yang akan menunjukkan pelbagai maklumat berkaitan python tapi masih ramai gagal memanfaatkan sumber-sumber tersebut.
Masih ramai yang terbelenggu dan mereka hanya mampu menunggu diajar dan bukannya liar mencari ilmu-ilmu baru yang tiada had di luar sana? Kenapa begitu? Kenapa begitu sukar untuk belajar sendiri? Kenapa mesti tunggu masuk kelas, kursus dan sebagainya baru dapat belajar?
Kemampuan belajar sendiri (pembelajaran kendiri) atau self-directed learning ternyata masih kurang di kalangan masyarakat kita. Ramai yang bila cakap "saya mahu belajar Python" tapi maksud sebenarnya adalah "saya mahu diajar Python ...".
Jadi nota ini adalah untuk mereka yang mahu belajar dan bukannya diajar.
Pusat Maklumat
Sebelum kita pergi jauh, kita perlu tahu dahulu di mana asas atau tempat asal kerana kalau tersesat, sekurang-kurangnya kita tahu tempat kembali. Untuk Python, asasnya sudah tentu laman rasmi projek tersebut iaitu www.python.org.
Di laman rasmi Python, kita dapat tahu perkembangan terkini berkaitan Python itu sendiri, seperti versi terkini yang telah diterbitkan, senarai komuniti, tools dan aplikasi yang dibangukan menggunakan Python. Kesemua maklumat ini akan banyak membantu proses belajar kita nanti.
Komuniti
Belajar lebih seronok jika tidak bersendirian, atau sekurang-kurangnya kita tahu ada orang lain yang juga sama macam kita. Itu pentingya komuniti. Menariknya, dalam dunia maya ini, komuniti ada di mana-mana dan tiada kekangan geografi untuk kita turut sama menyertai.
Laman python.org telah menyenaraikan beberapa komuniti utama yang diwujudkan untuk menyokong mereka yang ingin mendalami Python.
Tutorial Asas
Nak belajar apa pun, kita mesti nak tahu asas dulu kan? Tiada rahsia istimewa, apa yang saya biasa lakukan hanyalah cuba Google kata kunci seperti "python basic tutorial" atau "python build website tutorial" untuk lebih spesifik dengan apa yang kita mahu lakukan. Anda boleh cuba dengan kata kunci berkaitan apa yang ingin dipelajari atau apa yang anda hendak lakukan mengggunakan Python.
Belajar Bahasa Inggeris
Ok, ini mungkin klise tapi terpaksa cakap juga. Hakikatnya, banyak maklumat berguna di luar sana masih dalam BI. Jadi nak tak nak memang perlu kuasai BI. Kuasai tak bermaksud boleh speaking lancar mcm mat salleh. Cukup kalau boleh faham ataupun agak-agak maksud yang nak disampaikan.
Sumber Maklumat
Sumber maklumat berkaitan Python kita boleh bahagikan kepada beberapa kategori seperti:-
Buku (E-book atau fizikal)
Laman web
Video
Buku
Berikut disenaraikan buku-buku yang dirasakan bagus untuk permulaan:-
Learn Python The Hard Way oleh Zed Shaw. Buku ini pada asalnya diterbit secara percuma oleh penulis tetapi sekarang hanya boleh didapati secara berbayar. Ia turut menyediakan tutorial dalam bentuk video dan contoh-contoh yang boleh dicuba secara online.
Laman web
Berikut antara laman web yang menyediakan pelbagai maklumat berguna berkaitan Python:-
Repl.it - Adalah sebuah laman web yang membolehkan anda menulis aturcara dalam pelbagai bahasa dan menjalankannya terus daripada aplikasi pelayar web. Maksudnya anda tidak perlu memasang python pun pada komputer anda. Ini adalah contoh program python di repl.it - https://repl.it/@k4ml/koditi#main.py.
Kaedah Belajar
Saya bahagikan kaedah belajar Python kepada 2 cara utama iaitu apa yang saya namakan cara konvensional dan cara projek.
Konvensional
Ini adalah kaedah seperti yang kita belajar kat sekolah. Contohnya kita belajar asas berkaitan matematik dan kemudian kita akan diberi set-set ujian bagi menguji kefahaman kita.
Melalui kaedah ini, biasanya apa yang kita buat adalah dengan mempelajari sintaks-sintaks asas bahasa Python. Kita belajar apa itu loop, conditional statement, sequence dan sebagainya. Seterusnya kita akan diberi beberapa permasalahan kecil untuk diselesaikan yang perlu ditulis menggunakan komponen-komponen asas yang kita telah pelajari tadi.
Projek
Dalam kaedah projek, kita akan fikirkan dulu apa yang kita nak bina. Contohnya ada orang dia nak bina laman web menggunakan Python, ada yang nak bina automasi untuk rumah dia - contohnya menyalakan lampu di rumah dengan arahan suara dan pelbagai bentuk projek lagi.
Setelah memutuskan apa yang nak dibina, kita akan bergerak ke belakang (move backward) dan mula mencari apakah yang perlu digunakan dalam Python dalam mencapai tujuan akhir projek kita.
Secara peribadi saya lebih suka kaedah projek berbanding kaedah konvesional kerana ia lebih menyeronokkan dan kita dapat melihat hasil pembelajaran dengan lebih jelas.
Last updated
Was this helpful?